Remaja hari ini berdepan dengan pelbagai tekanan dalam usaha
memenuhi keinginan ibu bapa dan guru untuk menjadi pelajar yang
cemerlang. Stres yang dihadapi telah menyebabkan ada remaja yang
mengambil tindakan yang tidak sesuai. Jelaskan usaha-usaha yang perlu anda lakukan untuk menangani stres.
Zaman remaja diakui sebagai zaman yang sangat indah namun penuh
pancaroba. Remaja akan meneroka pelbagai sudut kehidupan demi mencari
hala tuju mereka. Dalam tempoh pengembaraan itu, remaja akan berdepan
dengan pelbagai masalah yang menguji ketabahan mereka. Ada remaja yang
berjaya menangani masalah dengan baik namun ada juga yang tewas dalam kancah emosi
sehingga mencetuskan permasalahan yang lebih serius. Remaja seperti
inilah yang perlu dibantu agar mampu menangani tekanan emosi dalam jiwa
mereka dengan cara yang bijak.
Apabila dibebani masalah, remaja lebih cenderung untuk melarikan diri
daripada masalah dengan mencetus masalah lain. Contohnya, remaja
selalu berdepan dengan konflik keluarga kerana pandangan yang berbeza.
Jika itu berlaku, mereka mengambil jalan mudah dengan keluar melepak
bersama rakan-rakan yang mungkin mendorong mereka untuk melakukan
perkara-perkara negatif. Mereka mula tidak pulang ke rumah kerana tidak
ingin bertembung dengan punca masalah di rumah. Hakikatnya tindakan
itu tidak bijak kerana langkah terbaik untuk menangani stres adalah
dengan mencari punca masalah tersebut dan berusaha untuk menyelesaikannya agar yang keruh dapat dijernihkan. Jelas bahawa merungkai benang yang kusut adalah lebih baik daripada terus menambah masalah.
Ada juga remaja yang gemar memendam rasa apabila berdepan dengan
masalah. Mereka akan menjadi pendiam dan jika keadaan itu dibiarkan
berterusan, kemungkinan mereka akan menjadi murung. Kemurungan yang
berlebihan akan membawa kepada masalah jiwa. Perkara ini boleh
dielakkan jika remaja mencari seseorang yang boleh dipercayai untuk meluahkan masalah mereka.
Teman baik merupakan orang yang sepatutnya dijadikan sandaran namun
remaja perlu bijak memilih orang yang paling dipercayai. Walaupun orang
yang mendengar tidak mampu membantu, sekurang-kurangnya luahan masalah
itu dapat meringankan kekusutan yang bermain di minda. Melepaskan apa
yang terbuku di jiwa merupakan terapi paling baik dalam menangani stres.
Selain itu, cara yang tepat untuk mengatasi stres adalah dengan mendekatkan diri kepada Tuhan.
Berdoa dan meluahkan rasa hati kepada Tuhan dapat meringankan bebanan.
Dengan mendekatkan diri kepada Tuhan, remaja dapat menerima hakikat
bahawa masalah yang datang itu adalah dugaan daripada Tuhan untuk
menguji tahap keimanan seseorang. Dugaan itu akan dipandang dari sudut
yang positif jika remaja menerima segala masalah sebagai ketentuan atau
takdir daripada Tuhan. Maka mendekatkan diri kepada Tuhan dengan
beribadat merupakan cara yang paling tepat untuk menghilangkan keresahan
hati dan remaja boleh memohon petunjuk daripada Tuhan untuk
menyelesaikan masalah tersebut.
Kerunsingan terbukti dapat dihindarkan atau diatasi dengan cara beriadah. Jika ada masalah, luangkan masa untuk bersenam atau berjalan-jalan di kawasan riadah yang tenang. Ini selaras dengan slogan badan cergas otak cerdas.
Aliran darah yang lancar hasil aktiviti riadah dapat mengurangkan
tekanan pada minda yang berserabut dan kemungkinan remaja dapat
melupakan seketika masalah yang sedang ditanggung. Remaja juga patut
mengajak rakan atau ahli keluarga untuk bersama-sama beriadah dan hasil
komunikasi ketika sesi riadah dapat membantu meringankan masalah.
Tuntasnya, proses biologi yang tercetus ketika beriadah dapat memberi
ilham kepada remaja untuk menyelesaikan masalah emosi yang ditanggung.
Kesimpulannya, stres tidak boleh dibiarkan menguasai diri kerana
implikasinya terlalu besar. Orang yang sedang dalam tekanan yang
keterlaluan selalunya tidak dapat mengawal diri sendiri. Justeru, jika kita sedang mengalami stres, berusahalah untuk mengatasinya secepat mungkin. Begitu juga jika kita melihat rakan yang sedang dalam tekanan, carilah jalan untuk membantunya mengatasi masalah tersebut. Cegah sebelum parah adalah jalan yang terbaik sebelum nasi menjadi bubur
Tidak ada komentar:
Posting Komentar